Wednesday, September 11, 2013

EPIQ Shares - Menghitung Hari



Assalamualaikum dan apa khabar ... (^ _ ^)

Setelah sekian lama menyepi, mesti ada yang dah rindu nak baca blog ni kan..? Hehehe..
Tak ada?? Tak mengapa, yang penting perkongsian ilmiah antara kita mampu memanfaatkan kita di dunia dan akhirat..
 
Kita sudah sedia maklum bahawa terdapat dua tarikh penting untuk Malaysia dalam Bulan Kemerdekaan yakni 31 Ogos (Hari Kemerdekaan) dan 16 September (Hari Malaysia) dan sambutan ini kedua-duanya berkaitan dengan kebebasan dan pembinaan negara serta rakyatnya.

Sebelum kita pergi lebih jauh, penulis ingin berkongsi satu soalan asas untuk muhasabah kita semua:
<Nama negara> adalah sebuah negara yang ______  bebas daripada penjajahan.


A.   telah
B.   belum
C.   pernah

Untuk menjawab soalan ini, haruslah kita tahu apakah juzuk-juzuk penjajahan yang perlu kita perhatikan dan apa yang harus kita lakukan bersama supaya erti ‘merdeka’ itu dapat diisi dengan unsur-unsur yang sejahtera lagi mensejahterakan.

Unsur-unsur Penjajahan
1.     Sekularisme
Intipati ajaran ini adalah pemisahan antara agama dengan urusan politik, sosial dan ekonomi. Ajaran ini mula muncul apabila institusi gereja di Eropah enggan menerima perkembangan sains dan teknologi yang dibawa dari dunia Islam untuk mengeluarkan Eropah daripada Zaman Gelap kepada Rennaisance. Pemisahan bidang agama daripada bidang-bidang lain inilah yang melahirkan sekularisme. Seperti yang dapat dilihat, pengamalan sekularisme ini memundurkan penganut Nasrani manakala Muslim yang menerima Islam secara menyeluruh menjadi bahan rujukan warga barat. Sekarang lihat di sekitar kita, adakah agama terpisah daripada kegiatan hidup kita?? Adakah pemikiran rakyat semakin mundur atau semakin maju??

2.     Kekerasan
Ini merupakan unsur penjajahan paling mudah untuk dikesan sama ada dari segi hukuman seperti buang negeri (Tuan Guru Abdul Rahman Limbong & Sayyid Jamaluddin al-Afghani), tali gantung (Umar Mukhtar & Sayyid Qutb) dan penjara (HAMKA & Syeikh Muhammad Abduh) atau melalui pembantaian secara beramai-ramai seperti di Mesir, Palestin, Syria dan banyak tempat lain. Teknologi persenjataan seperti fosforus putih, peluru berpandu, gas pemedih mata, asid, bom C4 dan sebagainya merupakan unjuran hasrat penjajah agar hasratnya untuk menakluk diterima meskipun tanpa kerelaan.

3.      Media
Menyekat media yang memperjuangkan kebenaran serta menyebarkan bahan berunsur sesat adalah cara penjajahan secara halus. Pada zaman penjajahan secara jasadi, akhbar, majalah, mahupun surat yang membangkitkan kesedaran untuk berjuang dihapuskan serta diharamkan lalu diganti dengan poster-poster proganda dan kempen bahawa merekalah yang memperjuangkan kebebasan dan keamanan. Setelah meninggalkan tanah jajahan, wakil ideologi mereka yang dilantik dalam kalangan masyarakat tempatan dijulang sebagai perajurit kemerdekaan manakala para pejuang berpanji ILAHI dengan hasrat untuk kebebasan hakiki disisihkan daripada suluhan sejarah sesuai dengan peribahasa, “Lembu punya susu, sapi dapat nama”.


Setelah mengetahui senjata-senjata penjajahan yang digunakan, kita perlu juga tahu apakah pertahanan dan serangan balas yang boleh kita laksanakan supaya kita merdeka baik dari segi jasad mahupun akal dan jiwa.

Unsur-unsur Kemerdekaan
1.  Kebajikan
Sebelum pergi lebih jauh, kita baca pautan ini terlebih dahulu:
Berita ini mengupas sebuah rancangan bual bicara di Turki yang mempamerkan tindak balas lembu dalam temu ramah tersebut sebagai sindiran terhadap pihak-pihak yang tidak endah akan nasib rakyat Syria yang ditindas dek kekejaman rejim Assad. Salah satu kunci untuk kemerdekaan adalah melalui kebajikan yang terjamin untuk setiap manusia di muka Bumi TUHAN ini. Tanpa mengenal batas masa, tempat mahupun diri, kebajikan yang dilaksanakan dengan betul dan baik adalah unsur yang penting kerana mampu: menggagalkan dasar pecah & perintah yang terbukti meluaskan jurang masyarakat;  mengukuhkan iqtisad tanpa perlu bergantung pada perancangan kewangan yang dicanang untuk menguntungkan penjajah dan konco-konco; menonjolkan ciri-ciri kemanusiaan yang subur dengan kasih sayang sesama insan.

2.  Pendidikan
Juzuk yang turut terzahir apabila kemerdekaan sejati berjaya dicapai adalah kesedaran menuntut ilmu serta penghormatan terhadap ilmuwan. Ilmu yang disediakan dan dapat diceduk secara telus dan terkawal (bukan tersekat) mampu memanfaatkan pemberian ILAHI yang hanya dinikmati manusia – akal. Melalui ilmu kita mampu menilai, memilih serta mencerna pengetahuan kemudian bertukar pendapat serta pengalaman dalam menjalankan salah satu sebab manusia diciptakanNYA iaitu untuk memakmurkan Bumi ini.

3.  TUHAN
Ya, dengan kembali padaNYA barulah kita mencapai kemerdekaan yang hakiki. Apabila kita beralih daripada penindasan ajaran ciptaan manusia kepada keadilan syariatNYA, apabila kita sedar bahawa akhirat itu jauh lebih luas daripada dunia fana ini, apabila kita berhenti menyembah makhluk lalu menghambakan diri padaNYA: barulah kita layak mengatakan kita sudah terlepas daripada pasungan akal, belenggu jiwa dan kurungan jasad. TUHAN yang Maha Penyayang berpesan,

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” [Ali-Imran:185]

‘Kemerdekaan’ daripada neraka bermula apabila kita membebaskan diri kita di dunia ini daripada mengerjakan amalan yang melayakkan kita memasuki neraka. Pada masa itu ‘kemerdekaan’ sudah tidak boleh diperjuangkan kerana sibuk memikirkan azab yang berterusan.

Semoga perkongsian kali ini mampu menjadi wadah untuk kita menjadi insan yang berguna kepada agama, manusia dan dunia demi mendapatkan kesejahteraan untuk semua di alam yang seterusnya. Maaf andai tersinggung perasaan mana-mana pihak kerana yang sempurna itu hanyalah DIA yang mencipta saya, anda dan alam ini. Semoga kita dapat bertemu lagi untuk perkongsian ilmiah dan pertukaran manfaat.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.