Wednesday, May 8, 2013

EPIQ Says: Pasca PRU13-Luahan Seorang Anak Muda

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Malaysia sekarang berada dalam minggu pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dijalankan dan sebagai seorang yang tidak berkesempatan mengundi, saya merasakan perlunya untuk menjadi pemerhati dan penilai meskipun saya tiada kredibiliti untuk berbuat demikian apatah lagi diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas tersebut. Entri ini adalah semata-mata cetusan pemikiran dan luahan rasa maka, kepada sesiapa yang ingin berbincang secara sihat dengan saya selepas membaca nukilan ini, anda adalah dialu-alukan.....

Sebelum anda membaca artikel ini, ketepikan seketika sokongan/ketaksuban anda kepada mana-mana organisasi mahupun individu kerana coretan ini sekadar untuk menyatakan apa yang rakyat sewajarnya dapat dan apa yang kerajaan semasa perlu tunaikan.

  • Pentadbiran dan pemerintahan yang 'mesra TUHAN'

Kenapa 'mesra TUHAN'? Mudah saja... Kalau dengan TUHAN pun dia berani cari pasal, besar kemungkinan dia akan melakukan perkara sama terhadap manusia. Malahan, dalam Rukun Negara sekalipun, isi pertama yang disebut adalah "Kepercayaan pada TUHAN" yang secara tak langsung merujuk kepada pemerintahan berdasarkan agama, bukan memperalatkan agama. Dengan mengiktiraf nilai serta objektif semua agama di Malaysia, semestinya kita menekankan perlaksanaan yang adil sekaligus menolak semua bentuk kezaliman.

  • Pendedahan kepada masyarakat yang telus, jujur dan bermanfaat melalui media massa dan pendidikan

Media massa dan pendidikan adalah dua jalan bagi rakyat sesebuah negara mendapatkan ilmu dan ilmu itulah yang berkuasa sebenarnya dalam hidup manusia. Mari kita renungi kepentingan ilmu melalui dua kisah ini:

  1. Pernah suatu ketika dahulu Nabi Sulaiman a.s. diberi tawaran oleh ALLAH s.w.t. untuk memilih antara harta, jawatan dan ilmu. Nabi Sulaiman a.s. memilih ilmu dan beliau mendapat ketiga-tiganya sekaligus kerana dengan ilmu, pasti darjat kita diangkat tinggi serta dapat mentadbir harta dengan baik dan cemerlang
  2. Empat jejaka buta ingin mengetahui bagaimana rupa seekor gajah dengan hanya menyentuh gajah tersebut. Jejaka pertama menyatakan gajah itu seperti tali kerana dia menyentuh belalai, jejaka kedua mendakwa gajah itu seperti tiang setelah memeluk kaki gajah, manakala jejaka ketiga memegang badan gajah dan mengatakan gajah itu seperti dinding dan jejaka keempat menyatakan gajah itu seperti kipas setelah mengusap telinga gajah.. Akhirnya, mereka berempat bertelagah tentang rupa gajah itu yang sebenarnya..
berdasarkan dua kisah di atas, negara/kerajaan yang baik hanya lahir dan boleh bertahan apabila setiap warganegara memiliki ilmu untuk membina serta mengekalkan kewujudan negara tersebut di samping perlunya setiap rakyat untuk diberi pendedahan dari semua pihak dalam keadaan yang jelas dan nyata. Memandangkan Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen, adalah penting untuk semua 'pilihan' ditampilkan kepada rakyat sebelum sebarang 'pemilihan' dilakukan

  • Kebajikan yang mantap kepada segenap lapisan rakyat
Apabila kebajikan sudah terjaga, apa lagi alasan yang rakyat ada untuk melakukan jenayah? (melainkan kalau dia memang 'nakal' atau dah terlalu bosan agaknya). Tanpa jurang ekonomi yang terlalu besar, kedengkian boleh dikurangkan dan bila tiada rakyat yang fakir, tidak harus lagi kegiatan seperti mencuri, meragut dan merompak berlaku. Selain itu, memantapkan kebajikan bererti bukannya menggalakkan rakyat membentuk 'mentaliti subsidi', tetapi menjadi penyumbang bantuan pula dalam masyarakat. Sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Kattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz, tiada langsung rakyat yang layak menerima zakat (bantuan kerajaan) dari kategori 'miskin' dan 'fakir'. Tidak inginkah kita melihat sejarah seperti ini berulang kembali dalam negara kita??

  • Penerapan serta pengamalan akhlak yang baik tanpa sebarang kompromi
Malaysia merupakan sebuah negara di mana  kepelbagaian kaum dan kebebasan beragama telah tersulam dalam fabrik kehidupan rakyatnya maka, hakikat ini seharusnya difahami dan dihormati. Mengapa harus timbul isu perkauman dan agama yang menegangkan keadaan? Tambahan pula, unsur-unsur penghinaan, fitnah dan samseng harus dibakulkansampahkan jika kita mahu melihat Malaysia yang maju dan bertamadun serta senonoh keadaannya. Saya terkenang ayat seorang ulama' tempatan yang pernah saya jumpa, Ustaz Zakaria Ahmad yang menyatakan, "Ilmu biar secupak asalkan akhlak segantang". Meskipun kita banyak menampilkan unsur intelek dalam kempen, ceramah mahupun program namun, akhlak yang ditampil menjadi hujah kita yang terkuat sebenarnya.

      Empat kunci inilah yang saya fikir perlu dilaksanakan di Malaysia mulai sekarang kerana ingatlah, andaikata pucuk pimipinan semasa gagal menunaikan semua ini, pasti ada rakyat yang bangkit menuntut dan berjuang hinggalah kesemuanya terlaksana.

     Kepada yang menuduh "tidak mengenang budi" sebagai alasan anda kalah dalam pilihan raya, anda telah membuka ruang untuk rakyat untuk mempersoalkan keikhlasan anda semasa bertugas. Anda berpolitik untuk berbakti atau memancing undi??

     Selamat menjalani hidup dan membentuk Malaysia yang progresif, makmur dan dirahmati.. Insya-ALLAH jika kita memulakan seseuatu yang baik, pasti pencinta kebaikan juga yang akan membantu anda. Maafkan andai hujah saya menyinggung sesiapa, tapi saya hanya mahu melihat rakyat yang sejahtera dan negara yang terjaga... Jika diizinkan, kita pasti bertemu lagi... =)

Yang Benar,
EPIQ

Assalamualaikum..




No comments:

Post a Comment