Wednesday, April 25, 2012

EPIQ share - Nak Ke Mana Lepas Ni?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Masa aku muda-muda dulu, aku pun pernah bersekolah dan melepasi fasa SPM. Tapi ada satu masalah: “Aku nak belajar kat mana pasni?”. Sudah tentu banyak universiti yang buat promosi  tentang ‘kelebihan’ menyambung pengajian di kampus mereka cuma, antara sekolah dan universiti ada satu peringkat yang dinamakan “pra-U” dan kebanyakan remaja (termasuk aku) sukar membuat pilihan dalam memilih haluan sendiri.

            Jadi, aku nak berkongsi  secebis maklumat yang aku dapat hari ni. Sebelum memasuki universiti, apa institusi/jurusan pra-U yang perlu kita sertai? Berikut adalah ringkasan tentang jurusan-jurusan yang mungkin korang pilih:

Matrikulasi Kerajaan
      ·         Menyediakan jurusan dalam bidang sains dan perakaunan.
      ·         Agak mudah dan lepasan jurusan ini diiktiraf di kebanyakan institusi pengajian tinggi    awam dan swasta serta beberapa universiti di UK, Australia, New Zealand dan Indonesia.
      ·         Terdapat Program Satu Tahun (PST) untuk pelajar aliran sains, perakaunan dan teknikal manakala Program Dua Tahun (PDT) untuk pelajar bumiputera sahaja dalam aliran sains.
      ·         Kadar tusyen jurusan ini disubsidikan malah, setiap pelajar akan mendapat elaun sebanyak RM1250 setiap semester.

Asasi Kolej
·         Kursus ini ditawarkan di institut pengajian swasta sama dengan  pengajian ijazah. Maka, pelajar yang memilih kursus ini haruslah nekad dalam mengambil jurusan yang sama di tempat yang sama.
·         Struktur pengajian dan sukatan pembelajaran adalah unik kepada institusi tersebut.
·         Mengambil masa hanya setahun yakni lebih cepat daripada diploma.
·         Memerlukan 5 kepujian dalam peperiksaan SPM.

International Baccalaureate (IB)
·         Dikira sebagai diploma dan mengambil masa selama dua tahun. Lepasan kursus ini diterima di mana-mana universiti dalam mana-mana jurusan.
·         Pelajar perlu mengambil sebanyak satu subjek daripada setiap kumpulan ini:
1.    Pengkajian bahasa dan sastera
2.    Pengukuhan bahasa
3.    Individu dan masyarakat
4.    Sains bereksperimen
5.    Matematik dan sains komputer
Dan untuk subjek keenam, pelajar boleh menambah daripada kumpulan 1-5 atau mengambil subjek daripada kumpulan
6.    Kesenian
·         Selain 6 subjek di atas, para penuntut haruslah menulis karangan panjang, mengikuti TOK dan CAS. Di penghujung pembelajaran pula, mereka perlu menduduki peperiksaan bertulis.
·         Untuk menjalani kursus ini, pelajar dikehendaki memiliki sekurang-kurangnya 5 kepujian dalam SPM, menduduki ujian kemasukan dan menghadiri temuduga.

A-level
·         A-level ditadbir oleh Cambridge dan Edexcel. Lulusan kursus ini diterima serata dunia dan mengambil masa 18 bulan untuk ditamatkan.
·         Pelajar boleh mengambil 3 ke 4 mata pelajaran. Di samping itu,khususnya untuk pelajar Malaysia mereka dikehendaki untuk mengambil subjek Pengajian Malaysia dan Pengajian Islam/Moral.
·         Terkini, IPTA yang menerima lulusan A-level adalah UM, UKM, UPM, UTM dan USM.
·         Walau bagaimanapun, kos pengajian kursus ini boleh mencapai RM10000-RM25000.

STPM
·         Program ini mengambil masa selama 1.5 tahun  dan merangkumi 3 semester. Mulai tahun ini, segala peperiksaan dan tugasan akan dijalankan mengikut semester.
·         Pelajar perlu mengambil 4 ke 5 subjek termasuklah Pengajian Am ditambah pula dengan MUET.
·         Pelajar yang tidak mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi dan matrikulasi akan secara automatik terdaftar sebagai pelajar STPM.
·         Meskipun, para pelajar terbelenggu dengan pakaian seragam, yuran pengajiannya murah: RM120 dan tambahan RM90 untuk setiap subjek.

Asasi
·         Ditawarkan oleh kerajaan, tempoh 1-2 tahun yang merangkumi 38 jam kredit. Terdapat Pengajian Satu Tahun dan Pengajian Dua Tahun.
·         Kursus ini ditawarkan di UM, UIAM, UiTM, UPNM, USIM, USM, UNIMAS dan UKM. Bidang yang boleh diceburi adalah perundangan, sains, perakaunan, kejuruteraan dan TESL.
·         Untuk memohon, pelajar haruslah berstatus Bumiputera dan sekurang-kurangnya mendapat 5 kepujian dalam SPM termasuklah subjek Bahasa Malaysia.
·         Pelajar yang mengikuti program ini mendapat subsidi kerajaan, pengajian secara percuma dan elaun sebanyak RM 1250 setiap semester.
·         Bagi kebanyakan pelajar, mereka yang lulus akan dapat menyambung ijazah di institusi yang sama namun ada segelintir yang perlu mengisi semula UPU.
·         Kepada yang mahu menukar jurusan atau university, hasrat itu sukar untuk ditunaikan manakala bagi pelajar yang gagal menyempurnakan kursus ini, mereka perlu membayar kembali  serta memulakan segalanya semula.

Itulah serba ringkas mengenai kursus-kursus yang ditawarkan pada peringkat pra-universiti. Artikel ini sengaja tidak diberi secara lengkap untuk menggalakkan anda mencari maklumat tambahan yang sahih. Diharap agar entri ni boleh membantu dan ingatlah bahawa apa sekalipun pilihan yang kita buat, pastikan pilihan itu membantu kita di akhirat kelak =) Sekian, assalamualaikum dan selamat tinggal…

Sumber
“Vital Course Details” ,dari sisipan Undergraduate Focus Pre-U, akhbar New Straits Times keluaran 25 April 2012, mukasurat 8-9.

No comments:

Post a Comment