Saturday, April 14, 2012

EPIQ shares - Bahtera Nuh a.s. lwn R.M.S. Titanic


Assalamualaikum dan salam sejahtera…. (^o^) Tajuk entri ni tak merujuk kepada sekuel untuk “Alien VS Predators” atau “Freddy VS Jason”. Tapi bersempena dengan 100 tahun selepas karamnya R.M.S. Titanic, apa salahnya kita merenung kembali sejarah silam untuk dijadikan iktibar kepada kita semua. Lagipun, George Santayana pernah menyatakan bahawa jika kita tidak mempelajari sejarah, kita akan mengulanginya maka, wajarlah kita selidik sedikit sebanyak tentang peristiwa karamnya R.M.S. Titanic di samping membandingkannya dengan kapal yang berjaya mengharungi banjir serta ombak setinggi gunung; Bahtera Nuh a.s.

            R.M.S. Titanic berjaya dalam percubaan setelah siap pada 2 April 1912 dan memulakan pelayaran sulungnya pada 14 April 1912 dan karam pada 15 April 1912 pada jam 2.20 pagi (masa sebenar masih didebatkan kerana perbezaan zon masa namun “2.20 pagi” adalah masa yang sudah melekat dengan peristiwa ini). Karamnya kapal ini akibat pertembungan dengan aisberg dipercayai berpunca daripada:
  1. Kelajuan yang berlebihan menyebabkan kapal tidak mampu mengelak atau membelok jauh dari aisberg.
  2. Masalah telekomunikasi nirdawai (wireless) semasa meminta kemaskini hanyutan aisberg dan semasa meminta bantuan penyelamatan.
  3. Rivet yang mencantumkan panel bahagian kanan kapal dibuat daripada bahan substandard dan secara kebetulan, bahagian itulah yang bertembung dengan aisberg pada malam itu.
Dan ada pihak yang menyatakan Edward J. Smith yakni kapten kapal syarikat White Star Line (syarikat kapal persiaran yang memiliki Brittanic dan Olympic selain Titanic) dengan angkuhnya berkata, “Tuhan sendiri pun takkan mampu mengaramkan kapal ini” maka, tragedi yang menimpa kapal ini bertindak sebagai balasan dan pengajaran bagi sesiapa juga yang menentang kekuasaanNYA. Walau bagaimanapun, penulis tidak berjaya mengenalpasti kesahihan ayat ini mahupun sumbernya namun, kita masih boleh mengambil pengajaran daripada kisah ini.

            Bahtera Nuh a.s. pula disiapkan setelah diarahkan oleh ALLAH s.w.t. untuk membinanya dengan pengawasanNYA sendiri. Umat Nabi Nuh a.s. menyembah lima patung berhala yang merupakan patung orang-orang soleh dari masa lampau. Pada asalnya, patung-patung ini dibina untuk memberi dorongan kepada umat semasa dalam beribadat namun lama-kelamaan, patung-patung ini menjadi sembahan. Setelah dilantik menjadi rasul, Nabi Nuh a.s. menyeru kepada umatnya agar bertakwa kepada ALLAH dan mentaatinya. Walau bagaimanapun, dakwahnya ditentang hebat malahan usahanya untuk membina bahtera itu pun, dikeji oleh masyarakat. Setelah diberi tawaran terakhir untuk beriman dengan ajaran Nabi Nuh a.s. seraya menaiki bahteranya, hanya sedikit manusia yang beriman dan menyertai beliau bersama haiwan-haiwan. Hujan dari langit dan air dari bumi akhirnya menjadi banjir yang menenggelamkan orang-orang yang kufur. Setelah suatu tempoh berlalu, akhirnya banjir pun surut menandakan ‘pembersihan’ sudah selesai.

Berikut adalah sedikit perbandingan antara kedua-dua kapal ini;
Perbandingan
Kapal
R.M.S. Titanic
Bahtera Nuh a.s.
Rekod yang dicapai
Kapal pelayaran terbesar pada zamannya
Kapal pertama dalam sejarah tamadun manusia
Simbolisme
Kemajuan teknologi serta keangkuhan manusia
Kepatuhan serta penyerahan diri kepada TUHAN
Bahan binaan
Keluli, rivet dan sebagainya
Papan dan pasak
Penumpang
Dari bangsawan hinggalah kepada insan marhaen yang mampu membeli tiket sama ada kelas pertama, kedua atau ketiga.
Manusia dan haiwan yang beriman kepada ajaran Nabi Nuh a.s. yang menaiki secara berpasang-pasangan
Pengakhiran
Karam di Lautan Atlantik Utara setelah berlanggar dengan aisberg pada sebelah kanan kapal
Selamat daripada banjir besar dan berlabuh di Gunung Judiy

            Kesimpulannya, walau sehebat manapun pencapaian kita ingatlah bahawa TUHAN itu berkuasa ke atas kita yang bertaraf hamba ini. Jika diri kita dimisalkan kepada kapal, elaklah daripada ‘bertembung’ dengan aisberg keangkuhan kerana kita bisa karam ke dalam lautan kejahilan; gelap lagi menyesakkan.

Sekian, terima kasih.
Assalamualaikum (^o^)

Sumber
  1. Al-Quran al-Karim
  2. Unseen Titanic oleh Hampton Sides dari National Geographic keluaran April 2012
  3. Kisah Nabi Nuh A.S. oleh Mohd. Wahid Abd. Hanif dari Solusi edisi 36-40

No comments:

Post a Comment