Wednesday, April 4, 2012

EPIQ says - Walimatul Urus Impian Saya


Setelah bertahun-tahun menghadiri kenduri kahwin, aku dah masak dengan masalah-masalah yang biasa dihadapi (atau sengaja dibiarkan) jadi, sudah masanya untuk merancang perkahwinan aku sendiri supaya aku sendiri tak rasa menyampah dengan diri sendiri.

Masa
Selepas solat Maghrib (kira-kira 8.05 malam). Kenduri yang biasanya diadakan pada waktu siang akan mendedahkan pihak tuan rumah dan tetamu kepada risiko untuk terlepas solat Zuhur dan Asar. Mengadakan majlis pada waktu ini membolehkan kedua-dua pihak merancang aktiviti dan masih mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH.

Tempat
Perkarangan masjid yang mempunyai dewan serta tandas yang berkeadaan baik. Lokasi ini dipilih untuk mengatasi masalah tipikal tetamu kenduri: sukar mencari tempat untuk ‘melegakan’ diri; tiada tempat untuk solat dan; ruang yang sempit untuk bergerak. Tambahan pula, ini merupakan peluang untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid sebagai institusi kemasyarakatan dan kebudayaan.

Pemakaian Pengantin & Tuan Rumah
Baju Melayu & kopiah (muslimin) dan baju kurung & tudung labuh (muslimat). Fesyen pengantin kini kebanyakaannya kompleks, mahal dan ‘menelanjangkan’ khususnya penagntin perempuan. Pemakaian yang ringkas lagi menutup aurat insya-ALLAH boleh menjamin keberkatan dalam perkahwinan lagi menjimatkan masa, tenaga serta wang.

Penyediaan Makanan & Minuman
Bekerjasama dengan para peserta rancangan masakan realiti bersama penduduk tempatan. Persaingan antara peserta mampu mewujudkan keinginan untuk mempersembahkan hidangan yang sebaik mungkin untuk para tetamu manakala kerjasama dengan penduduk tempatan boleh menimbulkan suasana kemesraan. Liputan stesen televisyen hanyalah sebagai bonus. =)

Pengisian
Forum atau tazkirah ulama’-ulama’ sebagai tarikan utamadi samping nyanyian lagu-lagu kerohanian. Selain hiburan yang sudah terlalu sebati dengan kenduri perkahwinan yang biasa, ada baiknya jika pengisian ilmiah dan kekeluargaan juga diterapkan. Lagipun, apa salahnya jika kita ‘menselebritikan’ para ulama’ pula, ya tak?

Pemberian Untuk Tetamu
Al-Ma’thurat (untuk Muslim) dan buku ilmiah (untuk bukan Muslim). Bunga telur, potpourri, kek buah dan benda-benda seumpamanya memanglah hadiah yang baik namun saya lebih suka objek yang tidak boleh dimakan sebagai hadiah agar hadiah tersebut kekal lebih lama di sisi penerima hadiah tersebut di samping memberi faedah jangka panjang melalui pembacaan.mereka.

namun yang paling penting untuk berjaya bukan setakat dalam melangsungkan perkahwinan, tetapi dalam penerusan perkahwinan itu sendiri ialah….

Pengantin
Dalam sistem sulbah yang dirangka oleh Imam Hassan al-Banna, beliau meletakkan baitul muslim (keluarga muslim) SELEPAS fardhil muslim (individu muslim). Ertinya, saya dan bakal zaujah (whoever she may be) haruslah melakukan persediaan yang secukupnya sebagai muslim di oeringkat individu sebelum membina institusi muslim di peringkat keluarga. Kami seharusnya sefikrah dalam mengamalkan islam sebagai cara hidup dan saling membantu dalam kerja buat kami. Memanglah kecenderungan  terhadap faktor-faktor fizikal dan konkrit itu ada, tetapi bila agama diutamakan, insya-ALLAH yang lain akan menyusul….


Meskipun belum tentu lagi 100% impian ini akan menjadi nyata, saya masih nak menyatakannya sebab menyatakan impian adalah langkah awal untuk perancangan gerak kerja, kan? Rasulullah S.A.W. pernah bersabda agar kita mendoakan pasangan yang baru berkahwin agar bersam-sam mengerjakan kebaikan. Jadi, jika  impian ini dapat dilaksanakan, mungkin kami dapat mengerjakan kebaikan seawal majlis perkahwinnan lagi. Kalau ada teguran, cadangan atau pembetulan, janganlah pendam.. =)

No comments:

Post a Comment